Warkah Dari Malaya: Tun M, Pas, Umno, Ada Apa Di Sebalik Tabir?

1.Seorang rakan kedai kopi saya memasang niat hendak menumbangkan seekor lembu jika berita Pas hendak dibawa masuk ke Putrajaya menjadi kenyataan. Dia memang teruja betul dengan berita yang asalnya disiarkan oleh portal FMT dan kemudiannya dipetik oleh portal-portal lain termasuk detiksabah.com.

2. Dia Islam dan dia Melayu. Setahu saya dia bukan penyokong mana-mana parti. “Aku undi ikut calon atau ikut situasi politik semasa. Masa Det Khalid (Datuk Seri Mahadzir Khalid) jadi MB, dua-dua undi aku bagi kat PAS. Masa Bashah hari tu aku undi BN untuk DUN dan PKR untuk Parlimen.”

3. Selain dia, rakan-rakan semeja lain pun malam itu umumnya teruja. Tetapi mereka tidak merujuk pada berita di FMT, sebaliknya pada kenyataan yang dibuat oleh Profesor Unggul Shamsul Amri yang meramalkan tahun ini kerajaan baharu akan ditubuhkan oleh Tun Mahathir dengan anggotanya bukan lagi Bersatu, DAP, PKR dan Amanah, tetapi dianggotai oleh Bersatu, PAS, UMNO dan sebahagian anggota PKR, iaitu mereka daripada kem Azmin Ali. PKR dan DAP, ramal penganalisis tersohor itu, tidak akan diajak untuk bersama.

4. Pagi tadi di kedai yang lain cakap-cakap tentang perkara yang sama masih boleh didengar. Ia mematikan terus cerita kemenangan BN di PRK Kimanis. Kalaulah khabar berita tentang kerajaan baharu itu ditimbulkan untuk membantu melupakan derita PH selaku sekutu Warisan atas kekalahan di Kimanis, strategi itu sesungguhnya berjaya.

5. Secara umum, daripada cakap-cakap yang didengar selain daripada di kedai-kedai kopi itu, rata-rata rakyat marhain di Kedah ini mengalu-alukan idea membawa Pas ke dalam kerajaan, lebih-lebih lagi melalui pembentukan kerajaan baharu. Ada seorang berkata ia helah Tun Mahathir untuk memanjangkan tempoh kuasanya, tetapi yang lain menyampuk, “tak kisahlah berapa lama dia nak jadi pm, yang penting orang Islam, orang Melayu ada peluang bersatu.”

6. Itu pointnya. Islam, Melayu bersatu. Itu mimpi besar sejak lama dahulu. Mimpi yang sukar diterjemahkan menjadi kenyataan secara total tetapi dianggap lebih daripada memadai jika ia terjadi dalam bentuk separuh atau suku total.

7. Desakan itu menjadi lebih kuat sejak PH memerintah. Keghairahan melampau sesetengah kalangan dengan kemunculan Malaysia Baharu, membawa kepada kegelisahan baharu. Kumpulan-kumpulan liberal yang menyangka Malaysia Baharu membolehkan mereka melakukan banyak perkara yang dahulunya dikekang, puak chauvinis yang menjadi terlebih berani dengan mentaliti kiasunya dan segala macam keghairahan dan keberanian lain yang dilihat oleh orang Melayu dan umat Islam di negara ini sebagai ancaman terhadap status quo mereka.

8. Sebab itulah sebagaimana lumrah manusia, semakin mereka diusik dan diasak, secara langsung atau tidak langsung, orang Melayu akan lebih mudah duduk semeja. Jadi tidak ada peliknya jika benar Bersatu, Pas, Umno dan kumpulan-kumpulan dari dalam PH yang sehaluan dengan mereka boleh duduk bersama bagi mencari persefahaman baharu.

9. Saya sejak lama menjangka perkara ini akan berlaku. Sikap Pas yang sejak dari pembentukan kerajaan PH menjadi cerminannya. Pas menolak Dap sscara total, Pas juga sering mengkritik malah ada kalanya mengherdik Anwar Ibrahim dan Pkr, dan Pas tentu sahaja tidak sehaluan dengan Amanah yang merupakan serpihannya. Tetapi sikap Pas tidak begitu terhadap Tun Mahathir. Berkali-kali ia menzahirkan sokongannya, waimma sebagai pembangkang terhadap kepimpinan perdana menteri ketujuh itu. Tanpa berselindung Pas menghantar isyarat bahawa mereka bersedia untuk turut menjadi benteng terakhir Mahathir jika ada kalangan dalam PH cuba menggugat kedudukannya melalui undi tidak percaya.

10. Tanpa sebarang persefahaman di belakang tabir agak mustahill bagi Pas yang terkenal dengan pandangan keras dan tegasnya boleh bersikap sedemikian lembut terhadap Tun Mahathir.

11. Dan tanpa sebarang persefahaman juga mustahil Umno membiarkan Pas terus bermain mata dengan Tun M sedangkan parti itu baru sahaja berkongsi bantal dengan Pas.

12. Jadi, apa sebenarnya yang ada di sebalik tabir itu?

Adi Alhadi

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *