SEKALI KETUK: USA, Jerman Dan Pelaksanaan PSS Di Sabah

Oleh: Musli Oli

1.Seorang dua minta saya nyatakan pendirian mengenai PSS. Adakah saya bersetuju atau tidak bersetuju? Saya mulanya tidak ingin jawab kerana saya tiada locus standi untuk menjelaskan polisi kerajaan. Tapi oleh kerana sehingga hari ini belum ada penerangan yang meyakinkan maka saya ingin jawab soalan itu.

2. Saya telah dengar penjelasan menteri, timbalan menteri, pengarah imigresen, pegawai kanan kerajaan termasuk penyokong-penyokong Warisan dan parti pemerintah PH namun kenyataan daripada mereka tidak lebih dari sekadar copy and paste, tidak jelas, celaru, tidak konsisten dan berbau politik. Sehingga penjelasan itu mengakibatkan lebih banyak bantahan orang ramai.

3. Penjelasan mengenai isu imigran dan PTI seharusnya dilihat dalam ruang lingkup yang lebih luas. Bukan soal masalah yang ditimbulkan golongan imigran itu sahaja. Tetapi faedah yang diperolehi dengan kehadiran mereka terutama dalam bidang ekonomi.

4. Saya ambil contoh dua negara kuasa ekonomi terbesar dunia. Amerika Syarikat dan Jerman. Amerika Syarikat menjadi kuasa ekonomi terbesar di dunia kerana peranan dan sumbangan golongan imigran. Bermula dengan kedatangan bangsa Eropah. Orang Ireland, Inggeris, Perancis, Itali, Jerman dan kemudian mereka membawa masuk hamba abdi sebagai buruh paksa dari negara Afrika. Tanpa golongan imigran mungkin ekonomi USA sekadar setaraf dengan Colombia, Brazil Bolivia atau negara-negara Amerika Latin yang lain.

5. Hari ini USA telah memperkenal peraturan yang lebih ketat terhadap imigran. Bukan sahaja kemasukan lebih ketat, golongan imigran diburu dan diusir pihak berkuasa. Ini termasuk immigran dari Asia seperti dari Vietnam yang telah menetap di negara itu. Negara Jerman muncul sebagai negara kedua selepas USA menjadi tumpuan kaum imigran dari seluruh dunia terutama dari Afrika dan Timur Tengah. Jerman merupakan kuasa ekonomi terbesar di Eropah. Pertumbuhan ekonomi yang pesat telah menyediakan banyak peluang pekerjaan.

6. Berbeza dengan USA, golongan imigran yang masuk ke Jerman lebih berpeluang menjadi warga negara selepas memenuhi syarat-syarat ketat yang ditetapkan kerajaan. Pertama golongan imigran diberi ‘Pas Kerja Sementara’ untuk menjadi pekerja di kilang dan perusahaan mereka. Selepas itu dididik menjadi rakyat yang bertanggungjawab dengan peraturan membayar cukai dan tidak boleh terlibat dengan jenayah. Selepas tempoh tertentu, dan selepas dibuktikan telah menjadi warga yang bertanggungjawab mereka diterima sebagai warganegara Jerman.

7. Di Sabah, golongan imigran yang datang tanpa izin bilangannya semakin hari semakin ramai ramai. Jumlahnya bertambah setiap tahun kerana faktor tolakan dan faktor tarikan. Seperti USA dan Jerman, Sabah mempunyai faktor tarikan kerana negeri Sabah menyediakan peluang pekerjaan yang banyak kepada golongan imigran. Terutama dalam bidang pekerjaan yang kurang diminati penduduk asal.

8. Sama ada golongan imigran itu diberi dokumen atau tidak, mereka tetap bergadai nyawa merentasi laut dan samudera untuk masuk ke Sabah secara haram. Sama ada mereka ditangkap, dipenjara dan diusir berkali-kali mereka tetap kembali ke Sabah demi survival hidup keluarga mereka. Ini telah berlaku berpuluh-puluh tahun. Kepada golongan yang telah ada dokumen asal (seperti IMM13) mereka boleh bebas bekerja sebagai buruh, pembantu kedai, pekerja ladang, tukang masak, pelayan restoran dan sebagainya. Manakala pemegang dokumen lain yang tidak diiktiraf jabatan imigresen, mereka terdorong melakukan jenayah kerana kerap ditangkap pihak berkuasa ketika melakukan kerja-kerja halal.

9. Memberi mereka dokumen sementara atau membiarkan mereka tanpa sebarang dokumen sehingga melahirkan kecenderungan yang tinggi untuk mereka melakukan aktiviti jenayah? Menjadi pengedar syabu, penyeludup rokok haram, merompak, mencopet dan sebagainya. Apakah pilihan kita di Sabah? Membiarkan mereka jadi penjenayah atau menjadikan mereka manusia yang bertanggungjawab seperti yang dilakukan negara Jerman dan beberapa negara Eropah lain?

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *