SEKALI KETUK: Huguan Siow Masih Berbisa – Analisis Penutup PRK Kimanis

Oleh: Musli Oli

1.Sebelum balik KK petang ini saya merangkum dan menutup analisis PRK Kimanis dengan menyentuh pengaruh dan peranan Huguan Siow, Tan Sri Pairin Kitingan di Kimanis. Dalam wawancara langsung Bernama TV malam tadi saya tidak sempat sentuh kerana masa agak singkat.

2.Saya berpendapat mengheret nama Pairin dalam isu PSS merupakan satu kesilapan strategi. Ia seperti mengejutkan harimau yang sedang tidur. Pairin sebenarnya telah bersara dari politik setelah melepaskan jawatan Presiden PBS setahun lalu. Dia tidak berniat mencampuri urusan politik. Jauh sekali untuk berkempen di Kimanis.

3.Tapi namanya diseru dan diungkit. Seolah-olah kesalahan diletak di bahu bekas Ketua Menteri Sabah itu. Kerajaan Sabah yang ditunjangi parti Warisan mahu mencipta satu tanggapan bahawa kerana Pairin pernah mencadangkan Pas Residen Sabah dalam laporan RCI maka sebab itu PSS diperkenalkan.

4.Sungguhpun PBS, diketuai Presiden Datuk Seri Maximus Ongkili dan beberapa pemimpin KDM lain telah lama berkampung di Kimanis namun pengaruh mereka agak terbatas. Pemimpin KDM dari Warisan seperti Datuk Darrel Leiking, Datuk Peter Anthony dan lain-lain yang berjawatan menteri lebih menonjol. Begitu juga dengan TKM Datuk Madius Tanggau dari UPKO. Namun setinggi manapun jawatan pemimpin KDM dari Warisan atau UPKO, mereka tidak dapat menyaingi aura Huguan Siow.

5.Dua hari sebelum pembuangan undi Pairin Kitingan datang ke Kimanis. Ucapannya mendapat perhatian. Masyarakat KDM masih sayang kepada Huguan Siow. Yang mendengar ucapannya teruja. Yang sempat bersalam dan berpeluk dengannya nekad mempertahan maruah pemimpin kesayangan mereka itu.

6.Detik kehadiran Huguan Siow merupakan titik tolak kebangkitan semula rakyat Kimanis khususnya kaum KDM kembali menyokong Barisan Nasional. Walaupun sebenarnya sebelum kehadiran Huguan Siow, jangkaan dan ramalan Warisan telah jauh mendahului dan mengungguli PRK Kimanis.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *