Normah Pegawai Polis Wanita Pertama Ketuai Bahagian Anti Pengganas

PETALING JAYA: Senior Asisten Komisioner Polis Normah Ishak dilantik sebagai pengarah anti-pengganas Bukit Aman, sekali gus menjadi wanita pertama dilantik ke jawatan itu.

Beliau menggantikan Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay yang baru-baru ini dilantik sebagai ketua polis negeri Johor.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mengesahkan pelantikan Normah kepada portal South China Morning Post (SCMP).

Menurut SCMP, Hamid menyifatkan Normah sebagai “berani, cerdik, sangat berkelayakan dan seorang pegawai yang berpengalaman, berintegriti dan pemimpin yang cemerlang”.

“Antara tugas awal yang menunggunya ialah cabaran mengendalikan penghantaran balik 65 militan IS dan keluarga mereka ke Malaysia dari Syria. Sesetengah mereka merupakan militant tegar,” lapor portal berita itu lagi.

Normah menyertai polis Malaysia pada Disember 1991 dan merupakan timbalan Ayob sejak 2016.

Awal bulan ini, Ayob dilantik menggantikan Mohd Kamaruddin Md Din sebagai ketua polis Johor.

Perpindahan itu berkuat kuasa pada 6 Mac yang menyaksikan Ayob dinaikkan pangkat sebagai pesuruhjaya polis.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *