NGO gesa Shafie dedah jumlah pelancong China terkandas di Sabah

KOTA KINABALU: Sebuah kumpulan Orang Asal menggesa kerajaan Sabah mendedahkan jumlah pelancong China yang terkandas di negeri itu disebabkan penularan wabak Covid-19 susulan statistik bercanggah dilaporkan media.

Jurucakap Himpunan Hak Asasi untuk Rakyat Sabah (Harus), Samuel Lai berkata kerajaan khasnya Ketua Menteri, Mohd Shafie Apdal perlu menjelaskan perkara itu.

Katanya, Harus “amat bimbang” dengan laporan ribuan pelancong China terkandas di Sabah disebabkan wabak itu.

Beliau berkata, Daily Express pada 30 Jan lalu melaporkan 5,418 penduduk Wuhan memasuki Sabah dan tidak diketahui jika mereka masih berada di negeri itu.

Laporan Malay Mail pada 3 Feb lalu pula memetik konsul jeneral China di Sabah meminta kerajaan negeri tampil dengan pelan tindakan untuk membantu penghantaran pulang “ribuan” pelancong yang terkandas di negeri itu.

Ini susulan keputusan Sabah melarang penerbangan terus dari China.

Katanya, Daily Express pada 7 Feb lalu memetik Shafie menolak dakwaan pelancong China terkandas di negeri itu.

Beliau berkata, ini menunjukkan kekurangan kepimpinan dan maklumat boleh dipercayai.

Katanya, FMT pada 12 Feb lalu memetik Konsul Jeneral China di Kota Kinabalu, Liang Caide sebagai berkata, hanya kira-kira 200 pelancong China masih berada di Sabah.

Lai berkata, Liang turut mendedahkan 2,000 hingga 3,000 warga China mempunyai permit kerja di Sabah dan 700 pelajar yang kebanyakannya belajar di Universiti Malaysia Sabah.

“Situasi bertambah celaru apabila The Star memetik Pengarah Imigresen Sabah, Muhamad Sade Mohamad Amin sebagai berkata 15,907 warga China memasuki Sabah setakat 31 Jan lalu.

“Ini ialah hari kerajaan Sabah menyekat semua penerbangan komersial terus dari China.”

Katanya, Muhamad turut mendedahkan hanya 2,919 warga China meninggalkan Sabah antara 1 hingga 10 Feb lalu.

“Dengan semua kenyataan dan laporan berita ini, terdapat percanggahan ketara dalam maklumat dan kebenaran.

“Maklumat yang diberikan ketua menteri atau duta China mungkin tidak betul. Atau ini kekurangan pengarah imigresen?

“Percanggahan dan kurang kebenaran ini boleh menimbulkan kebimbangan serta kurang keyakinan terhadap pengurusan maklumat kita dan capaian umum dalam menangani penularan koronavirus.”

Katanya, ini khasnya selepas amaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia baru-barui ini yang semua negara, termasuk Malaysia perlu bersiap sedia terhadap kemungkinan penyebaran lebih meluas virus Covid-19.

“Sabah mudah terjejas kerana kekurangan maklumat dan kemudahan untuk menangani penularan wabak seperti diakui ketua menteri sebelum ini.

“Ketua menteri perlu menjelaskan keadaan secara telus dan jujur serta bertanggungjawab terhadapnya.”

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *