Menteri Indonesia Cadang Golongan Kaya Kahwin Orang Miskin

Seorang menteri Indonesia mencadangkan golongan kaya mengahwini mereka dari keluarga berpendapatan rendah dengan alasan ia boleh menyumbang kepada pengurangan kadar kemiskinan di negara itu.

Menteri Koordinasi Pembangunan Manusia dan Kebudayaan, Muhadjir Effendy (gambar) berkata Indonesia yang mempunyai penduduk Islam paling ramai di dunia di mana Islam menganjurkan pencarian jodoh yang sepadan sering disalah tafsir.

“Apa akan berlaku jika orang miskin mencari orang miskin (untuk berkahwin)? Akan ada lebih ramai isi rumah miskin. Ini masalah di Indonesia,” katanya memetik laporan The Jakarta Post.

Memetik data kerajaan, Muhadjir berkata, bilangan isi rumah miskin di negara itu ialah kira-kira 5 juta.

“Bilangan isi rumah Indonesia ialah 57.1 juta, 9.4% atau 5 juta daripadanya dikategorikan sebagai miskin. Sekiranya ditambah dengan isi rumah hampir miskin, kira-kira 16.8% atau kira-kira 15 juta isi rumah,” katanya.

Muhadjir mencadangkan Menteri Hal Ehwal Agama Fachrul Razi mengeluarkan fatwa yang memerintahkan golongan miskin dikehendaki mencari orang kaya untuk berkahwin dan sebaliknya.

Beliau juga mencadangkan program sijil pra-nikah, di mana pasangan yang belum stabil dari segi ekonomi tetapi ingin berkahwin mesti menerima kad pra-pekerjaan dari program yang dilancarkan Presiden Joko Widodo.

Muhadjir berkata program pra-nikah yang turut dilaksanakan di Korea, Malaysia dan Singapura, akan mengurangkan kadar keluarga miskin baru di Indonesia.

“Matlamatnya ialah selepas perkahwinan, pasangan akan membentuk isi rumah yang stabil,” katanya.

Bank Dunia baru-baru ini melaporkan kira-kira 115 juta rakyat Indonesia yang membentuk 45% penduduk, belum mencapai kestabilan ekonomi dan gaya hidup kelas pertengahan. – FMT

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *