Lokman Adam Dan ‘Perangkap’ Media Sosial

Oleh: Tulus Budiman

1.Sepatutnya pada pagi Sabtu 8 Februari, ada tunjuk perasaan di PWTC, atau di mana-mana. Kalau bukan tunjuk perasaan pun, setidak-tidaknya himpunan membantah pemecatan Datuk Lokman Noor Adam daripada UMNO pada hari sebelumnya.

2.Perkara itu tidak berlaku. Yang ada hanya sedikit riuh rendah di media sosial. Tetapi setakat itu sahajalah.

3.Jika diikutkan logik, perkara itu seolah-olah tidak logik. Lokman popular di media sosial. Ada puluhan ribu pengikut. Statusnya sering menerima reaksi balas yang tidak sedikit. Beratus-ratus.

4.Tetapi apabila dia berada dalam keadaan perlu disokong, di mana mereka?

5.Tidak, tulisan ini tidak ada kaitan dengan politik. Soal Lokman dan UMNO tidak ada kena-mengena dengan saya. Saya sebut nama Lokman sebagai contoh – tentang betapa media sosial tidak boleh dijadikan sandaran untuk membina sokongan.

6.Banyak orang, ahli politik, peniaga, artis, sesiapa sahaja yang tersilap dengan menyangka populariti mereka di media sosial adalah ukuran sebenar kedudukan mereka di alam nyata. Dan ramai daripada mereka terjebak dalam jerangkap itu.

7.Media sosial sebenarnya bagus untuk dijadikan medium membuat hebahan, lebih-lebih lagi jika berita-berita buruk yang daya penariknya sentiasa lebih besar daripada berita baik. Pos sekejap sahaja, dalam masa yang singkat ia sampai ke segenap penjuru alam. Jika kena caranya ia akan viral, hidup segar dua tiga hari sebelum ditindih oleh berita-berita lain yang diviralkan.

8.Sebagai individu anda juga boleh mencapai populariti pantas dengan memuatnaik apa sahaja yang boleh menarik perhatian umum, tidak kiralah kontroversi atau tidak. Dalam masa yang singkat anda akan dapat mengumpul peminat dan pengikut.

9.Tetapi anda tersilap besar jika menyangka pengikut di laman sosial itu benar-benar penyokong anda. Mereka yang ramai itu jenisnya pelbagai; yang memang berminat, yang suka-suka, yang kaki menyakat, yang jadi batu api, yang tak ada kerja. Jika ditapis, akhirnya yang tinggal bersama anda mungkin cuma anda dan kawan-kawan yang sememangnya mengenali anda.

10.Media sosial memang berkesan membina momentum untuk memarakkan isu, tetapi jarang dapat melonjakkan imej individu. Jangka hayat kesuburannya pendek, terutama disebabkan lambakan isu dan persaingan akan menyebabkan anda cepat diingat, dan cepat juga dilupakan.

11.Sebab itulah ada orang yang popular di media sosial apabila bertanding jawatan dalam parti, kedudukannya jauh tercorot. Sebab itu juga apabila ada pemimpin yang pengikutnya berjuta di media sosial dihadap ke mahkamah, yang mengiringnya hanya dua tiga puluh orang.

12.Ini berbeza dengan masa dahulu. Apabila Datuk Harun Idris ditahan, beratus -atau barangkali lebih – orang keluar memprotes sehingga ke peringkat ‘mengurung’ menteri besar itu di kediamannya bagi mengelak daripada diambil oleh pihak polis. Waktu kes Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat facebook belum ada, internet macam siput, tetapi beratus ribu orang keluar ke jalan raya.

13.Jadi moral ceritanya mudah; kalau nak jadi pemimpin, banyakkan ‘engagement’ secara peribadi. Turun padang, jumpa orang, banyakkan bual dan sembang bukannya menjadi jaguh di depan keyboard atau keypad. Ia hanya memberikan anda kepuasan, bukan kekuatan!

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *