Kebangkitan Suara Muda

Artikel ini dipetik sepenuhnya daripada blog Datuk Seri Panglima Dr Salleh Tun Said. Blog itu boleh dilayari di sallehsaid.com

1.Sekitar 70% daripada 4.13 juta pengundi berdaftar di Hong Kong telah keluar mengundi pada 24 November 2019 dan memberikan kemenangan besar kepada gerakan ‘pro-demokrasi’ yang ditunjangi orang muda dan pada dasarnya anti-kerajaan atau anti-Beijing.

2. Senario yang serupa turut berlaku di Scotland, di mana trend ke arah menuntut autonomi lebih kuat berbanding pro-federalisme.

3. Di negara kita sendiri, ada juga pihak yang berpendapat bahawa perkara sama berlaku di Sabah dan Sarawak pada PRU14 di mana soal autonomi menjadi penentu cara pengundi membuat pilihan, khususnya orang muda dan pengundi kali pertama.

4. Jelasnya, suara anak-anak muda kini menjadi bertambah kuat dan parti-parti politik perlulah mengambilkira fenomena global ini dalam perancangan strategi mereka.

5. Anak-anak muda hari ini adalah generasi yang mahukan hasil yang segera. Mereka sangat mementingkan ketelusan dalam sesuatu tindakan. Janji-janji perlu dipegang dan dikotakan tanpa sebarang alasan yang tidak munasabah.

6. Mereka tidak bertolak-ansur terhadap sebarang kelewatan menunaikan janji dan mereka tidak akan teragak-agak menghukum mana-mana pihak yang tidak menepati harapan mereka.

7. Hari ini jumlah pengundi muda sudah melebihi jumlah generasi yang lebih tua dan merekalah yang menjadi penentu keputusan pilihan raya bagi kebanyakan negara-negara di dunia.

8. Malaysia juga sebuah negara yang mana anak-anak muda sudah menjadi kuasa di sebalik peti undi. Sepertimana yang berlaku di Hong Kong, di mana graduan berusia 23 tahun boleh menumpaskan calon veteran, kita perlulah mengambil pengajaran dari kebangkitan suara muda ini.


Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *