Kaji Semula Jual Bangunan UMNO Selangor – Bekas Adun

SHAH ALAM: Bekas Adun Batang Kali dari Umno menggesa keputusan untuk menjual bangunan Umno Selangor dikaji semula.

Datuk Mohd Isa Abu Kasim yang juga bekas ketua Umno bahagian Hulu Selangor berkata keputusan yang dibuat Pengerusi Umno Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan dalam mesyuarat badan perhubungan peringkat negeri baru-baru ini tidak mendapat keputusan sebulat suara daripada ketua bahagian.

“Hanya 11 ketua bahagian setuju daripada 22 ketua bahagian negeri itu.

“Di samping itu, pihak perhubungan Umno Selangor gagal mengemukakan cadangan penjualan dan perancangan yang meyakinkan.

“Ini kerana bangunan ini merupakan milik Umno Selangor, bukannya syarikat tertentu,” katanya pada sidang media di Perkarangan Bangunan Umno Selangor.

Isa yang juga Pengerusi NGO, Badan Bertindak Selamatkan Bangunan Umno Selangor menggesa keputusan penjualan itu diusul dalam mesyuarat parti peringkat cawangan dan bahagian yang bermula 15 Feb.

“Bawa ke peringkat akar umbi. Masih ada pejuang-pejuang Umno Selangor yang ikhlas mahu membantu jika perhubungan Umno Selangor membuka ruang untuk berdiskusi dan memberi pandangan juga saranan,” katanya.

Isa berkata sekiranya Umno Selangor berdegil mahu menjual bangunan itu, beliau tidak teragak-agak mahu menghantar memorendum untuk meminta campur tangan daripada Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau juga berkata tidak teragak-agak membawa kes ini kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kerana melalui sembang-sembang, saya difahamkan sebahagian ketua bahagian setuju ditawarkan ganjaran RM80,000, RM100,000 dan sebagainya.

“Jadi saya dapat berita ini dan siasat jika benar kita dapat bukti cukup, saksi ke depan kita bawa ke SPRM kalau masih keras nak jual,” katanya.

Sementara itu, Mat Nadzari menggesa pihak yang membantah penjualan bangunan ibu pejabat Umno di negeri itu mendapatkan maklumat sebenar mengenai tindakan tersebut.

Beliau berkata pihak terlibat sewajarnya mendapatkan maklumat lanjut mengenai kedudukan kewangan parti daripada pengurusan Umno negeri dan bukannya membuat kenyataan terbuka sehingga menimbulkan huru-hara dalam kalangan ahli.

“Benda (penjualan bangunan Umno Selangor) ini dibuat oleh jawatankuasa dan melalui proses-prosesnya.

“Jawatankuasa Kewangan Umno Selangor yang terdiri daripada 3 wakil pengurusan, 2 wakil ketua bahagian dan semua ketua-ketua sayap telah membincangkan mengenai masalah kewangan parti dan apa langkah-langkah yang boleh dibuat.

“Selepas itu, jawatankuasa ini akan keluar dengan cadangan dan maklumat terperinci untuk dibentangkan kepada badan perhubungan negeri sebelum sebarang tindakan diambil,” katanya.- FMT

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *