Johor Beli Camry Untuk Exco,Ganti Accord Yang Sering Rosak

MUAR: Pembelian Toyota Camry sebagai kenderaan rasmi exco Johor baru-baru ini dibuat setelah penilaian dibuat bersama Jabatan Kerja Raya (JKR), kata Menteri Besarnya, Datuk Dr Sahruddin Jamal (gambar).

Beliau mengesahkan kerajaan negeri membeli 15 Toyota Camry menggantikan kereta rasmi terdahulu, iaitu Honda Accord yang didapati melebihi 6 tahun penggunaannya dan perbatuan 350,000 hingga 400,000km serta ada yang sering mengalami kerosakan.

Oleh itu, penilaian dengan JKR dilakukan bagi proses penggantiannya, katanya mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim semalam yang mempersoalkan rasional pembelian Toyota Camry bagi kegunaan rasmi exco negeri.

Sahruddin berkata, Toyota Camry yang baru itu mula digunakan Rabu lalu.

“Sebenarnya rancangan untuk penggantian kereta baru dirancang sejak tahun lepas lagi (2019) dengan menggunakan jenis sama (Honda Accord), namun tidak dapat dilaksanakan kerana beberapa faktor,” katanya selepas merasmikan majlis penutupan Taklimat Perluasan Sektor Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Daerah Muar hari ini.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed yang turut hadir pada majlis itu berkata, sejak diperkenalkan pada 2017, SKSPS kini melibatkan 19 sektor pekerjaan berbanding hanya 2 sebelum ini.

Katanya, kira-kira 700,000 orang bekerja sendiri di Johor, tetapi hanya sekitar 7,000 yang mencarum.

“Caruman bagi skim ini serendah RM13.10 sebulan atau 43 sen sehari dengan memperuntukkan 8 jenis faedah iaitu perubatan, hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, layanan sentiasa, orang tanggungan, pengurusan mayat, pemulihan jasmani atau vokasional dan pendidikan.”

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *