Idea ‘Pasar Terapung’ Mampu Tarik Ramai Pelancong

BONGAWAN: Sungai Bongawan memiliki potensi untuk dibangunkan sebagai salah satu tarikan baharu kepada pelancong.

Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Dr Daud Yusof berkata, memandangkan Bongawan merupakan antara destinasi pelancongan untuk melihat kelip-kelip dan monyet Belanda ia juga mempunyai potensi lain iaitu ‘pasar terapung’ seperti yang terdapat di negara Thailand.

Katanya, masyarakat di kampung terlibat boleh mengaplikasikan idea berkenaan dengan mewujudkan gerai-gerai terapung di pesisir sungai Ulu Bongawan-Kampung Seri Serbang dengan jualan makanan tempatan, buah-buahan termasuk kraf tangan.

“Sebelum pelancong melihat kelip-kelip dan monyet Belanda, mereka boleh singgah di ‘pasar terapung’ untuk membeli-belah snek ataupun ole-ole. Saya yakin bukan sahaja kita dapat menarik pelancong asing tetapi juga pengunjung tempatan.

“Keunikan ‘pasar terapung’ bukan sahaja akan membuka peluang kepada penduduk kampung untuk menjana pendapatan tetapi pada masa sama meningkatkan ekonomi di daerah terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Chap Goh Mei anjuran Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bong Hwa di Plaza Bongawan.

Hadir sama Ahli Parlimen Papar Ahmad Hassan, Pengarah Urusan Kumpulan WSG Datuk Susan Wong Siew Guen dan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SKJC Bong Hwa Arzizan Zaini.

Dalam perkembangan berkaitan, Daud yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan menyarankan kepada pengusaha pelancongan di daerah berkenaan untuk memberi latihan kemahiran kepada pekerja bagi memastikan mereka dapat menguasai bahasa asing.

Jelasnya, usaha itu bukan sahaja memudahkan komunikasi di antara pelancong tetapi juga akan memberi impak positif jangka panjang kepada industri pelancongan di daerah berkenaan.

“Kemahiran penduduk menguasai bahasa asing asas bukan sahaja memberi kelebihan dan kebaikan dari segenap aspek yang secara tidak langsung dapat meningkatkan lagi kedatangan pelancong ke daerah Bongawan,” katanya. – Utusan Borneo

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *