DARD Gesa Kerajaan Negeri Jelaskan Sebab Pemecatan Raymond Ahuar

KOTA KINABALU: Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mempersoal pemecatan Raymond Ahuar sebagai setiausaha politik kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Christina Liew.

Beliau yang juga bekas anggota parlimen Kota Belud itu berkata ini kerana pemecatan itu dikatakan selepas Raymond mengadakan lawatan kerja di daerah Nabawan susulan aduan daripada masyarakat Murut berkenaan kegiatan pembalakan yang diadakan di atas tanah masyarakat (communal land) mereka.

“Dimaklumkan oleh media bahawa pemecatan itu dicadangkan oleh ketua menteri sendiri (Datuk Seri Shafie Apdal) dan disokong oleh majoriti menteri (negeri itu).

“Kalaulah ini benar, kerajaan Sabah perlu memberi jawapan kenapa Raymond dipecat sedangkan beliau hanya menjalankan tugas untuk melindungi kepentingan masyarakat Murut di kawasan berkenaan?” soalnya dalam kenyataan di Facebook semalam.

“Apakah yang menyebabkan menteri-menteri kabinet kerajaan negeri begitu menggelabah sehingga sanggup memecat Raymond yang mempertahankan kepentingan masyarakat Murut daripada dipermainkan oleh syarikat pembalakan itu?,” soalnya lagi.

Menurut laporan hari ini, Raymond yang juga Ketua Pemuda PKR Sabah, ketua Pemuda Pakatan Harapan Sabah dan Ketua cabang Pensiangan PKR memberitahu beliau dimaklumkan secara peribadi oleh Liew berhubung pemecatannya, yang menurutnya dicadangkan oleh Shafie.

Raymond berkata, pemecatan itu berikutan surat lawatan kerjanya ke Nabawan pada 12 Februari lalu.

Menurut laporan yang dikeluarkan Raymond susulan lawatan itu, yang dilihat Malaysiakini, syarikat pembalakan yang berkenaan masih belum memulakan pengukuran pecah geran, menyebabkan masyarakat Murut di situ tidak dapat menerima geran plot individu di tanah itu.

Laporan itu dikeluarkan melalui NGO Pertubuhan Kebudayaan dan Kebajikan Murut Malaysia yang diketuai Raymond, dan dikemukakan kepada Shafie, Liew, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah dan beberapa agensi lain.

Abdul Rahman berkata lagi, pemecatan itu menimbulkan tanda tanya berkenaan mana-mana pihak yang mungkin memiliki kepentingan dalam syarikat tersebut.

“Sehinggakan Raymond dipecat begitu sahaja walaupun hanya menjalankan tugas melindungi kepentingan masyarakat Murut,” katanya yang juga bekas menteri BN. – sumber: Malaysiakini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *