Cerita Manis Dari DUN Sungai Tiang

Oleh: Tulus Budiman

Cuti CNY saya ke Kedah. Ia merupakan kali ketiga menjejakkan kaki ke bumi Jelapang Padi itu. Kali terakhir pada 2016.

Dalam masa empat tahun Kedah, terutama Alor Setar tak banyak berubah. Masih sebuah bandar yang tenang. Jalan raya tidak sesak, orangnya ramah, suasananya selamat sehinggakan anda tidak berasa takut walaupun berjalan pukul empat pagi seorang diri. Yang lebih penting makanannya sedap-sedap dan murah-murah.

Rezeki membawa saya ke Pendang. Ke suatu majlis kenduri kahwin. Di situ saya berkongsi keramahan orang Kedah. Macam-macam cerita yang didengar. Tentang kemarau panjang yang menyebabkan petani di luar MADA menanggung kerugian sebab padinya kesit dan kering, tentang harga getah yang masih rendah dan susu pula kurang disebabkan kemarau.

Di sebalik cerita sedih itu ada cerita manis yang menarik perhatian saya. Beberapa orang yang semeja dengan saya bercerita tentang untungnya nasib orang di DUN (kawasan dewan undangan negeri) Sungai Tiang, salah satu DUN dalam kawasan parlimen Pendang.

Kata mereka, wakil rakyat DUN itu, Datuk Suraya Yaacob dari UMNO/BN masih mengekalkan momentum kerjanya seperti penggal-penggal yang lalu. Rajin melawat kawasan. Rajin mempedulikan rakyat. Tidak susah dihubungi walaupun sekarang dia juga adalah ketua UMNO bahagian Pendang.

Tak cukup dengan itu, ada yang lebih menarik. Penyelaras DUN Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis juga dikatakan seorang yang sangat komited dengan amanah yang diberikan. Ketua bahagian BERSATU Pendang itu, kata mereka yang semeja dengan saya, bekerja berbelas jam sehari dan tujuh hari seminggu untuk meninjau, mendengar dan membantu menyelesaikan masalah rakyat.

“Sehari dia ada di lima enam tempat, macam-macam program. Beritahulah masalah apa pun, masa mana pun, dia dengar dan cuba bantu. ‘Angin tak tinggi’ senang minta tolong,” kata seorang sebaya saya dari kampung Gajah apa entah, saya tak ingat. Cuma saya ada dengar dia ada sebut gajah…

Dengan apa yang didengar saya setuju sangat kalau mereka kata orang DUN berkenaan beruntung. Mendapat wakil rakyat yang rajin dan penyelaras DUN yang juga rajin dan komited merupakan bonus yang jarang diperoleh oleh penduduk di kawasan-kawasan lain. Banyak kawasan yang ADUNnya sentiasa sibuk di Kuala Lumpur. Dan waktu era BN memerintah dulu saya sering bertemu penyelaras DUN yang kerjanya cuma menjadi broker projek…

Di Sabah ada dua watak yang saya suka perhatikan dalam soal kerajinan turun padang ini. Yang pertama Datuk Ewon Bennadick dan kedua Jamawi Jaafar, Adun Kemabong. Saya tidak kenal mereka secara peribadi (dengan Jamawi hanya pernah bertemu sekali dan bertegur sapa ringkas di Sunway Putra Mall). Segala apa tentang mereka saya hanya tahu melalui media.

Sebelum PRU 14 saya suka mengikuti laman FB Ewon. Hari-hari dia berada di lapangan. Segala ceruk di DUN Kadamaian dia sampai. Waktu itu dia bukan wakil rakyat, tapi gerak kerjanya macam wakil rakyat sehingga saya pernah berkata kepada penganalisis politik tersohor Sabah, Musli Oli, dia ni tentu akan dipilih jadi calon dan kalau menang tentu jadi menteri. Ramalan saya tidak meleset. Dia menteri sekarang walaupun bukan dengan baju BN.

Jamawi pun saya ‘kenal rapat’ melalui FB. Ternyata anak muda ini sangat rajin. Dia kaya dengan idea. Berdedikasi. Ada sahaja aktivitinya sehinggakan berita tentang program-programnya di Kemabong boleh dibaca hampir setiap hari di pelbagai portal media Sabah.

Sesungguhnya pemimpin seperti inilah; Suraya, Razak, Ewon, Jamawi -sebagai contoh, kerana tentunya ada banyak lagi di luar sana – yang rakyat mahu. Zaman pemimpin duduk di bilik berhawa dingin atau turun ke padang sambil bercekak pinggang sudah berlalu. Yang hanya pandai beretorik tetapi tidak tahu bekerja juga sudah tidak perlu. Semua spesies seperti itu patut dibiarkan pupus perlahan-lahan. Biar dikenang oleh anak cucu bukan sebagai pemimpin berjasa, tetapi sebagai bahan jenaka.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *