Apabila Perintah Kawalan Pergerakan Diengkari

Artikel ini dipetik sepenuhnya daripada blog Datuk Seri Panglima Dr Salleh Tun Said. Blog itu boleh dilayari di sallehsaid.com

1.“Stay put where you are,” PM Tan Sri Muhyiddin Yassin merayu malam tadi, dengan nada yang kurang formal namun cukup serius jika dibandingkan dengan ucapan beliau mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan dua hari sebelumnya.

2. Perubahan nada tersebut membayangkan amaran yang begitu serius dari pihak kerajaan. Setelah Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan, rakyat Malaysia masih lagi bergerak ke sana sini, berhimpit di pasaraya, dan ada juga yang keluar makan minum di luar.

3. Lebih membimbangkan lagi, ramai yang berpusu-pusu untuk balik kampung sehingga jalanraya sesak dan perhentian bas dipenuhi orang ramai.

4. Perintah Kawalan Pergerakan ini dilaksanakan untuk memantau penularan wabak Covid-19. Jika rakyat Malaysia engkar atau memandang ringan, Malaysia berhadapan dengan penularan Gelombang Ketiga yang lebih dahsyat lagi.

5. Saya sekali lagi mengambil contoh Itali yang telah melalui apa kita sedang lalui hari ini. Itali adalah antara negara yang mengenakan perintah kawalan pergerakan kepada rakyatnya sewaktu Covid-19 mula menular.

6. Malangnya, rakyat Itali memandang ringan terhadap perintah tersebut. Mereka mengambil peluang percutian sekolah untuk berjalan-jalan, pulang ke kampung dan melepak di luar. Mereka masih meneruskan urusan sosial mereka di kafe, restoran, kompleks membeli-belah atau gimnasium.

7. Kesannya, lebih ramai rakyat Itali dijangkiti. Setakat 18 Mac, Itali merekodkan 35,713 kes jangkitan, 2,978 kematian dan 4,025 penyembuhan, menjadikan jumlah kes aktif di Itali sebanyak 28,710 kes, iaitu lebih dua kali ganda daripada jumlah kes aktif di mana-mana negara lain.

8. Pada 9 Mac, kerajaan Itali mengenakan ‘lockdown’ seluruh negara, bermakna lebih daripada 60 juta rakyat Itali diletakkan dalam kuarantin. Rakyat Itali tidak lagi boleh keluar rumah untuk ke mana-mana kecuali untuk keperluan harian dan urusan farmasi.

9. Apa yang berlaku kepada Itali sangat menyedihkan namun rakyat Malaysia harus mengambil iktibar. Patuhilah Perintah Kawalan Pergerakan agar negara kita tidak menerima nasib yang sama. Di Sabah semalam ada 21 kes baharu, melonjakkan jumlah jangkitan kepada 103 kes.

10. Ini adalah satu perkembangan yang tidak boleh kita pandang ringan lagi. Duduklah di rumah, dan semoga kita semua sentiasa dilindungi.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *