Akibat Benarkan PTI Tinggal Di Premis: Manja Didenda RM15,000

KOTA KINABALU: Seorang lelaki berumur 46 tahun didenda berjumlah RM15,000 kerana membenarkan tiga pendatang tanpa izin untuk tinggal di premisnya.

Hakim Mahkamah Sesyen Azreena Aziz menjatuhkan hukuman itu ke atas Manja Belinu, yang mengaku terhadap pertuduhan yang dibuat ke atasnya pada Rabu.

Mahkamah memerintahkan Manja membayar RM5,000 atau dua bulan penjara untuk setiap pendatang asing terlibat.

Dia didapati membenarkan dua lelaki dan seorang wanita berumur antara 19 hingga 40 tahun tinggal di premisnya pukul 1.06 pagi pada 1 Julai, 2018 di Gerai Santai Hj Manja di pasar malam Safma, di sini.

Kesalahan di bawah Seksyen 55E(1) Akta Imigresen 1959/63 itu membawa hukuman penjara sehingga setahun, atau denda sehingga RM30,000, atau kedua-duanya, untuk setiap pendatang tanpa izin terlibat.

Semasa mitigasi, Manja yang tidak diwakili merayu keringanan dan membenarkannya membayar denda secara ansuran.

Tetapi, Pegawai Pendakwa Mohd Shafiq daripada Jabatan Imigresen menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal.

Mahkamah membenarkan permohonan Manja untuk membayar denda secara ansuran sehingga April tahun ini. – CDB

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *